Wednesday, October 28, 2009

TRANSFORMASI

Semasa saya kecil kartun transformer sangat digemari. Kartun berkenaan yang berkisar mengenai sekumpulan robot yang boleh berubah menjadi kereta dan trak sangat popular pada masa ini. Watak protaganis dan antagonisnya mempunyai keupayaan mentransformasikan diri masing-masing.
Dari kartun kini ia ditransformasikan ke layar perak. Filem sains fiksyen Transformer arahan pengarah tersohor dari Barat, Steven Spielberg yang pernah mengarahkan filem ET kini diterbitkan dalam sekuel keduanya “Revenge of the fallen” menampakkan dari segi kecanggihan teknikalnya bagaimana ia diterbitkan. Tidak terdapat perbezaan yang jelas dari segi pergerakan robot dan manusia. Kelihatan begitu asli walaupun realitinya tidak begitu. Begitulah canggihnya teknologi perfileman di Barat. Jelasnya sudah tentu banyak usaha dan upaya dibuat untuk menjamin kesan khas yang mampu memikat dan memukau penonton. Aksi robot transformer berkenaan kelihatan seakan hidup dan mempunyai emosi.

Bercakap mengenai transformasi -pada minggu kedua bulan Oktober lalu, saya diberi peluang untuk turut serta ke sebuah bengkel berkaitan dengan transformasi pentadbir. Begitu banyak perkara dibincangkan bagi menggerak usaha mentransformasikan pentadbir. Pendekatan petunjuk prestasi utama (KPI) dan “Balance score card” digunakan.
Persoalan besar yang perlu dijawab dan dilaksanakan ialah- bagaimana mentransformasikan idea kepada pelaksanaan atau direalitikan? Sudah tentu usaha yang berlipat ganda sangat perlu digerakkan. Dan adakah kita semua bersedia. Sama seperti kita bersedia dan bertindak kepada sebarang perubahan. Hakikatnya satu pemikiran yang baru dan mendahului perlu diterap dan usaha yang berlipatkali ganda sangat perlu digembeleng.
Seorang yang saya anggap guru semasa bertugas di sebuah stesen TV swasta sering menyebut “yang membezakan satu penerbitan dengan penerbitan yang lain ialah “effort” atau usaha dari kita.” Itulah yang dilakukan oleh Steven Spielberg.

Tuesday, October 27, 2009

Thursday, October 8, 2009

BERSEDIAKAH KITA BERUBAH

BERSEDIAKAH KITA BERUBAH
“Esok saudara diminta hadir ke majlis syarahan perdana Naib Canselor. Datang jam 8.00 pagi di Foyer Bangunan Pentadbiran.” Suara yang kedengaran begitu dikenali. Getar suaranya menunjukkan kemahiran memujuk yang sangat berkesan. Saya maklumkan kepada tuan punya suara itu bahawa saya akan hadir dan ini merupakan panggilan ketiga yang saya terima memaklumkan perkara itu.
Esok pagi ketika sampai dan sebaik sahaja menandatangani daftar kehadiran, sepucuk sampul surat berisi wang elaun dihulur. Setelah mengucapkan terima kasih dan tidak lupa menguntum senyum kepada pegawai berkenaan saya menaiki bas. “Ini satu inovasi,” detik hati saya.
Saya dan beberapa orang sahabat menghabiskan masa hampir lima jam perjalanan dari Skudai ke Kuala Lumpur. Perkara elaun itu menjadi perbualan pertama kami pagi itu. “Bagaimana melakukannya dalam masa yang singkat?”
Universiti Kreativiti Inovasi begitulah tajuk buku syarahan perdana Naib Canselor baru-baru ini. Bertempat di Dewan Besar Kampus Antarabangsa UTMKL. Syarahan yang diadakan petang itu diwarnai dengan paparan kartun karya Kartunis Lat. Justeru, sangat memberi kesan kepada tumpuan hadirin yang umum mengetahui begitu sukar menarik minat hadirin pada waktu petang. Bagaimanapun, syarahan perdana yang dirasmikan oleh tetamu kehormat Timbalan Menteri Pengajian Tinggi terlebih dulu mendapat inspirasi dari kepetahan berucap dan rujukan ilmiah yang digunakan olehnya. Antara soalan utama yang ditimbulkan oleh Timbalan Menteri ialah, “Bagaimana meletakkan ilmu dan ilmuan di tempat yang paling tinggi?” Bagi saya bukan mudah dicapai dan bukan mudah untuk dikekalkan.
Memetik tulisan Naib Canselor dari buku Universiti Kreativiti dan Inovasi;
“budaya inovasi merujuk kepada kesediaan untuk berubah, mencuba perkara dan cara baru dalam seluruh aspek kehidupan untuk kemakmuran, kedamaian, kesenangan, kesejahteraan dan kelestarian menerusi penyelesaian kreatif” Zaini (2009).
Saya lebih cenderung untuk merujuk kepada kesediaan untuk berubah. Dari pembacaan saya faktor kesediaan untuk berubah sangat dipengaruhi oleh komunikasi yang berkesan. Sepertimana artikel yang ditulis oleh Elving. Wim J.L (2005) yang mengetengahkan Model Konseptual Komunikasi Semasa Organisasi Mengalami Perubahan atau The Role of Communications in Organizational Change, Corporate Communications an International Journal, vol.10 No.2 pp.129-138.
Peranan komunikasi iaitu komunikasi untuk memberitahu dan komunikasi untuk membina kelompok akan memberi kesan kepada faktor (uncertainty) keadaan tidak menentu dan (job insecurity) kerja tidak terjamin. Keadaan ini seterusnya akan memberi kesan kepada kesediaan staf untuk menerima perubahan.
Contohnya jika staf itu dimaklumkan untuk menggunakan kaedah atau pendekatan lain untuk melaksanakan tugas hariannya. Persepsi awalnya pasti membentuk soalan-soalan seperti; apakah kerjanya makin bertambah? Adakah dia terpaksa menjalankan kerja yang lebih rumit dari sebelumnya? Bagaimana dengan masa depan kerjayanya? Apakah ganjaran yang akan diterimanya? Apakah yang dia akan bakal kehilangan? Mampukah dia melaksanakan tugasnya? Semua ini merupakan persoalan yang akan timbul sewaktu staf mula-mula menerima mesej mengenai perubahan yang akan berlaku.
Justeru, maklumat mengenai perubahan yang benar-benar lengkap perlu disampaikan dan ia paling berkesan menggunakan saluran formal. Ini termasuklah dengan mempunyai kepimpinan yang berautoriti untuk menyampaikan mesej perubahan.
Jika persoalan-persoalan ini dapat dijawab dengan bijak dan memberi ruang kepada staf untuk menyampaikan persoalan dan maklum balas maka kesediaan staf untuk menerima perubahan akan berada pada tahap yang paling baik. Sepertimana menurut Ahmad Shukri (2002) sikap seseorang staf terhadap sesuatu perkara terbentuk antara lainnya berdasarkan kepada maklumat yang diterima oleh mereka. Sama ada maklumat tersebut benar atau salah, itu bukanlah persoalannya.
Kadangkala sikap negatif staf terhadap perubahan polisi yang dilaksanakan oleh pihak pengurusan bukanlah disebabkan para staf tidak mendapat maklumat, tetapi berkemungkinan mereka mendapat maklumat yang salah atau kurang tepat, ataupun maklumat itu tidak lengkap.

Sekadar berkongsi maklumat.
baukk_99@yahoo.com

pengenalan

assalamualaikum dan salam sejahtera,


saya baru sahaja memulakan blog saya. masih dalam proses pembelajaran.